Kita menyambut Maulidur rasul bukanlah untuk menjadikannya salah satu perayaan ibadah tapi hanya sekadar untuk mengingati dan mensyukuri akan kelahiran Nabi kita yang menjadi pembimbing kita keluar dari kegelapan. Menurut Ibnu al-Hajj, "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan islam.
Dengan adanya sambutan Maulidur rasul maka kita akan dapat memperkenalkan muslimin siapa itu Muhamaad dan secara tak langsung kita akan membuatkan hati Muslimin tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) ,meniru akhlak nabi dan meniru segala perbuatan baginda dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya". Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh dilakukan secara bersendirian.
Dan kemudian bila kita rujuk kembali didalam sahih Bukhari berkenaan dengan Abu Lahab yang akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya, kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w). Hadith ini terdapat didalam kitab Nikah oleh Bukhari , Dan kemudian Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi berkata, "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya "hancur tangan-tangannya" ; diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? Tentu lebih lagi ganjarannya”.
Boleh diperkatakan disini bahawa sambutan ini dilakukan adalah semata untuk Memperingati hari kelahiran baginda dan ia secara tidak langsung akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Kerana baginda adalah ikutan kita dan ia mempunyai akhlak yang mulia sepertimana Firman Allah didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)
No comments:
Post a Comment